Saturday, December 26, 2009

PUASA SUNAT HARI ASYURA’.

Unit Agama dan Akhlak sukacita memaklumkan bahawa bersempena dengan kedatangan Hari Asyura’ pada tahun ini iaitu 10hb Muharram 1431H bersamaan dengan 27hb Disember 2009M pada Hari Ahad ini, mahasiswa-mahasiswi adalah dianjurkan untuk berpuasa sunat Hari ‘Asyura. Yang mana fadhilat berpuasa pada hari tersebut dihapuskan dosa setahun sebelumnya. sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah Radhiyallahu’anhu berkata:
Maksudnya : “ Bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang puasa hari Asyura’, Beliau menjawab,” Dapat menghapuskan dosa 1 tahun sebelumnya.” . (Hadith riwayat Muslim)

Puasa Asyura’ seharusnya disertai puasa pada hari kesembilannya iaitu Hari Sabtu 9hb Muharram 1431H bersamaan 26hb Disember 2009M ia dinamakan juga dengan Hari Tasyu’a.Berdasarkan hadith dari Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata:

Maksudnya : “ Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah bersabda:” “Apabila aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku juga akan berpuasa pada hari sembilannya (Muharram)”(Hadith riwayat Muslim)

Dapat dilihat bahawa baginda bermaksud akan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram. Baginda juga memerintahkan untuk berpuasa satu hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram dan satu hari setelahnya iaitu hari ke-11 Muharram untuk menyelisihi puasanya orang-orang Yahudi.Sebagaimana dalam sebuah hadith Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam yang bermaksud:

Berpuasalah kamu pada hari Asyura’ dan selisihilah kaum Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari setelahnya.” (Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

Orang-orang Yahudi biasa berpuasa pada hari ke-10 ( hari Asyura’) saja. Kerana pada hari itulah Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kaumnya diselamatkan dari kejaran Fir’aun. Dan pada hari itu juga ditenggelamkan Fir’aun dan tenteranya. Orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 ini sebagai tanda rasa syukur mereka kepada Allah kerana telah menyelamatkan Nabi Musa ‘Alaihissalam dan kaumnya serta menghancurkan Fir’aun dan tenteranya. Sehingga bagi mereka kejadian ini merupakan nikmat yang diaunegerahkan Allah kepada orang-orang Yahudi.

والله أعلم، إن لله الراجعون

0 comments:

Powered By Blogger